PENDEKAR MELAYU DALAM SEJARAH DINASTI TANG?
Salam. Mungkin perkara yang
hendak saya sampaikan ini agak pelik bagi sesiapa yang tidak arif
tentang sejarah ketamadunan Melayu, namun bagi yang suka membaca buku
sejarah maka kehadiran orang Melayu di China adalah perkara yang tidak
dapat disangkal. Ketika membuat kajian tentang hubungan China dengan
Negara-negara kota Melayu saya telah terjumpa satu perkara yang amat
menarik. Semuanya berkait dengan perkataan Kunlun.
Sebelum saya meneruskan cerita
mengenai pendekar tersebut , perlu rasanya untuk saya menjelaskan satu
istilah yang penting.Kunlun adalah sebutan atau gelaran orang cina
terhadap orang yang berkulit gelap. Jika kita cari didalam kamus-kamus
cina lama maka akan dijumpai perkataan ini. Namun demikian, perkataan
Kunlun ini pada awalnya bukanlah umum bermaksud orang yang berkulit
gelap. Hal ini kerana perkataan tersebut terbit daripada sebutan cina
terhadap raja yang memerintah kerajaan Funan dan kerajaan-kerajaan di
Semenanjung tanah Melayu yakni di bahagian timur.
Tidak diketahui bila bermulanya
perkataan Kunlun ini digunakan untuk menggambarkan setiap bangsa yang
berkulit gelap menggantikan bangsa Melayu. Sememangnya Kunlun adalah
khas panggilan orang china terhadap bangsa Melayu yang kemudiannya
termasuk sekali bangsa Khmer. Ada pihak-pihak tertentu yang ingin
menafikan perkara ini dengan mengatakan bahawa Kunlun merujuk kepada
bangsa Negrito atau Afrika. Pada saya pernyataan ini adalah tidak tepat,
malahan kurang hujah serta bukti yang kukuh. Orang Melayu sebagai
Kunlun telah saya jelaskan sebelum ini bahawa ia bermula daripada pelat
orang-orang Cina menyebut gelaran raja-raja purba Melayu di Indochina
yang dipercayai sesetengah sejarawan sebagai kurung atau kulun atau
gunung! Iching dan Su Kung dalam buku pengembaraannya pernah menyatakan
bahawa bunga cengkih banyak ditanam di negeri Kunlun. Jadi tak mungkin
Kunlun itu Afrika. Manakala dalam kamus sanskrit China pada zaman Tang
Kunlun bermakna Dvipantara yakni Semenanjung Asia Tenggara!
Mengukuhkan lagi hujah ini,
masyarakat cina melalui catatan-catatan pengembara mereka turut
merekodkan tentang aktiviti pelayaran dan perkapalan serta perdagangan
yang dijalankan oleh orang-orang Kunlun. Turut direkodkan kehebatan
kapal-kapal buatan orang-orang Kunlun yang dipanggil sebagai Kunlun po.
Perkara ini mengesahkan lagi bahawa Kunlun adalah orang Melayu kerana
orang Melayu memang mengamalkan aktiviti kelautan sejak dari awal lagi.
Pada zaman dinasti Tang juga ada direkodkan bahawa seorang pedagang
Kunlun yang membunuh gabenor Guangzhou kerana gabenor itu cuba menipu
dalam urusan perdagangan dengannya. Pada zaman dinasti Yuan pula ada
tercatat dalam buku sejarah China bahawa lokasi Kunlunguo atau kerajaan
Kunlun terletak di laut selatan dan lebih selatan dari Lin yi atau
Champa. Ternyata pernyataan ini menunjukkan Kunlun itu terletak di
Semenanjung Melayu.
Penuntut
kung fu aliran Wudang dikatakan mampu melakukan teknik terbang melayang
seperti yang dilakukan oleh hamba Kunlun. Adakah teknik Wudang ini
berasaskan dari hamba Kunlun tersebut yang merupakan seorang pendekar
Melayu?
Namun tidak saya nafikan bahawa
memang pernah wujud orang-orang Afrika yang dijadikan hamba dibawa ke
China untuk dijual. Kebanyakan hamba-hamba ini dimiliki oleh orang-orang
asing yang berniaga di China seperti di Xian dan Canton yang memang
terdapat banyak penempatan orang asing seperti Arab dan Parsi. Untuk
mengatakan bahawa orang negrito ini datang sendiri dan menetap di China
adalah agak mustahil kerana diketahui bahawa mereka adalah agak
primitive berbanding bangsa lain terutama dalam soal pelayaran dan
perdagangan antarabangsa berbanding orang Melayu dan Arab.
Walaubagaimanapun mereka tetap digelar sebagai Kunlun oleh orang-orng
cina dan hal ini menyebabkan perkataan Kunlun bukan lagi khusus untuk
bangsa Melayu. ini menyukarkan dan mengelirukan ahli-ahli sejarah yang
ingin mengkaji tentangnya.
Perkataan Kunlun juga dikatakan
berasal daripada banjaran gunung yang berada di Tibet yakni Kunlun shan.
Namun ada pengkaji mendapati Kunlun juga panggilan orang-orang china
bagi gunung yang berada di Pulo Condor (baca pulau kundur). Sejak
beratus tahun yang lampau pulau ini telah dikenali para pedagang dengan
nama tersebut yang terang-terang adalah bahasa Melayu. Para pedagang
china juga sering menamakan Asia Tenggara terutama kepulauanya sebagai
kunlun. oleh itu tidak dapat disangkal lagi bahawa orang kunlun merujuk
kepada orang-orang Asia Tenggara.
Berbalik kepada persoalan
pendekar Melayu di china itu tadi sebenarnya tidak ada record sejarah
yang betul-betul dapat mengesahkan bahawa lelaki ini memang wujud pada
zaman tersebut. Namun demikian wujudnya Novel Kunlun Nu atau The Kunlun
Slave yang dikarang pada zaman dinasti Tang menunjukkan bahawa
masyarakat China telah terdedah dengan kedatangan atau kehadiran
orang-orang bangsa Kunlun atau Melayu.
Dalam novel tersebut yang
berlatarbelakankan Kerajaan China dinasti Tang, wujud sebuah keluarga
bangsawan yang mempunyai seorang hamba berbangsa Kunlun. Dipendekkan
cerita. Pada suatu hari anak lelaki daripada keluarga bangsawan telah
tertarik hati dengan salah seorang perempuan istana atau puteri raja.
Mereka telah tertearik hati diantara satu sama lain dan jatuh cinta.
Untuk bertemu dengan sang puteri atau gundik tersebut si pemuda
bangsawan terpaksa memanjat kota yang tinggi melebihi 20 kaki.
Dengan bantuan hambanya si orang
Kunlun, beliau telah berjaya melepasi tembok tersebut. Si pemuda telah
membawa lari perempuan istana tersebut dengan dibantu oleh hamba Kunlun.
Hamba Kunlun ini digambarkan mempunyai kuasa mistik. Dia dikatakan
telah menggunakan kuasa mistiknya bagi membunuh para pengawal Istana dan
membawa lari si puteri dengan cara terbang melepasi tembok dan melompat
dari satu bumbung ke satu bumbung bangunan yang lain (seperti dalam
cerita-cerita kung fu). Si hamba juga dikatan boleh menghilangkan diri
dan mempunyai kuasa untuk menyembuh dan mempunyai pengetahuan yang luas
dalam perubatan.
Apa yang menariknya ciri-ciri
hamba Kunlun ini sama seperti gambaran orang Cina terhadap orang-orang
Asia tenggara atau Melayu. Orang cina menggelarkan orang-orang Kunlun
sebagai bangsa yang gasar dan berkulit gelap dengan rambut yang beralun
atau kerinting. Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, Kunlun
merujuk kepada orang Melayu. Jadi persoalannya adakah hamba ini seorang
Melayu? Saya berkesimpulan bahawa dia memang seorang Melayu. Seperti
yang kita tahu pada zaman dahulu lagi bangsa Melayu memang mempunyai
kehebatan dalam ilmu beladiri yang mistik. Kehebatan untuk terbang dari
satu pokok ke pokok oleh pendekar-pendekar Melayu pada zaman dahulu
sehinggalah zaman jepun kasih bermain di bibir masyarakat Melayu. Tetapi
adakah orang Afrika mempunyai kemahiran sebegitu. Jawapannya tentulah
tidak. Tidak ada dalam sejarah mereka ilmu mistik dan pertahanan diri
sebegitu rupa. Tetapi ilmu persilatan orang Melayu memang ada sejak
beribu tahun lagi. Ilmu-ilmu kebatinan orang Melayu memang sangat kuat
diamalkan pada zaman Hindu-buddha. Jadi adalah tidak mustahil jika saya
katakan bahawa hamba Kunlun tersebut adalah seorang Melayu yang tinggi
ilmu kebatinannya.
Menurut sejaraawan China, novel
tersebut adalah diantara novel Wushia atau kependekaran yang terawal di
China yang membuka ruang kepada novel-novel dan cerita-cerita
kependekaran yang lain di china. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu terbang
melayang seperti yang kita sering lihat dalam filem-filem China
sebenarnya berasas daripada cerita pendekar Melayu yang tinggi ilmu
batinnya. Dalam novel tersebut si hamba Kunlun kemudiannya menghilangkan
diri dan beberapa tahun kemudian dilihat menjual ubat-ubatan di pasar.
Jika kita telitikan dapat diketahui bahawa sebahagian besar daripada
rempah ratus dan ubat ubatan China adalah bersumberkan dari hutan-hutan
Asia Tenggara jadi tidak mustahil si hamba tersebut balik semula ke
kepulauuan Melayu dan menjadi pedagang. Satu lagi ciri yang dapat
memberikan gambaran bahawa si hamba Kunlun adalah seorang Melayu ialah
nama beliau. Namanya dalam pelat cina ialah Mole atau Mohe. Jika kita
cuba padankan dengan bahasa Melayu boleh jadi Molek atau Mula atau
Malin. Tambahan lagi beliau juga dikatakan sering membawa sejenis dagger
atau pisau yang menjadi satu-satu hartanya yang dibawa kemana-mana.
Mungkinkah ianya keris?
Nampaknya kemisteriusan kisah
ini hampir sama seperti Kisah Henry The Black atau Panglima Awang. Namun
persamaan kedua-dua cerita ini adalah mereka tidak lain tidak bukan
adalah dari kepulauuan Melayu. Terpulang kepada anda samaada untuk
menyetujui kesimpulan saya yang meletakkan si hamba sebagai melayu atau
tidak. Diharapkan anda memberikan komen masing-masing dan mungkin
pandangan lain tentang topik ini. Sekian wallah hu a’lam.
Comments
Post a Comment